KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengucapkan tahniah kepada Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman di atas pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, pelantikan tersebut amat dialu-alukan oleh ahli-ahli peladang Sabah kerana Musa mempunyai jasa yang besar dalam membangunkan negeri Sabah selama menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Semasa beliau menyandang jawatan itu dan Menteri Kewangan Negeri, rizab negeri dilihat bertambah dengan begitu ketara.
“Selain itu pendapatan negeri juga terus meningkat dari tahun ke tahun semasa Musa menerajui kepimpinan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Datuk Seri Pangljma Haji Musa Haji Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, bermula 1 Januari 2025.
Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Sebagai rakan sekampung yang sama-sama dari daerah Beaufort, serta sejarah hubungan kenalan yang baik antara arwah bapa Musa dengan arwah bapa saya, tentu sekali atas sandaran itu saya mempunyai keyakinan Sabah akan terus makmur di bawah naungan Musa selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu,” katanya.