Prasarana Sabah Di Tahap Tidak Memuaskan, Sukarkan Kemasukan Pelabur Asing

Prasarana Sabah Di Tahap Tidak Memuaskan, Sukarkan Kemasukan Pelabur Asing

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, prasarana Sabah masih pada tahap yang tidak memuaskan dan ini menyukarkan kerajaan negeri menarik pelabur besar.

Tambahnya, ini adalah antara sebab utama pengangguran dan kemiskinan masih tinggi di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri peka dengan situasi berkenaan, justeru, menyiapkan projek prasarana terutama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo menjadi usaha penting bagi menarik pelabur seterusnya merangsang pembangunan ekonomi negeri.

“Banyak pelabur jumpa kita (kerajaan negeri) untuk melabur berbilion ringgit di Sabah, tetapi tidak dapat kita merealisasikan sebab elektrik tidak baik, air kurang, jalan raya tidak baik…

“Tetapi kita tidak akan biarkan (masalah) ini berterusan. Kita akan melihat bagaimana Sabah dapat kita pacu dari segi lain, dari segi ekonomi supaya kemunduran ini dapat kita kurangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Kepulihan Negara peringkat negeri di sini malam Sabtu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Negeri berkata demikian ketika mengulas mengenai keluaran dalam negara kasar (KDNK) terbaharu yang menyatakan Sabah antara negeri dengan kadar pengangguran dan kemiskinan tertinggi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut memberitahu, pihaknya telah meminta kerajaan Persekutuan untuk menambah jumlah pakej kerja projek pembinaan lebuh raya itu untuk dilaksanakan tahun depan bagi mempercepatkan penyiapan Lebuhraya Pan Borneo.

“Sekiranya dapat dilaksanakan tahun depan, bermakna dalam tiga tahun, jalan ini akan terus baik dan sudah tentu kita dapat memikirkan pula untuk pembangunan sumber air dan tenaga elektrik,” katanya.