BUTTERWORTH – Seorang lelaki memecah masuk premis menjual barang elektrik dan telefon bimbit di Jalan Raja Uda, Butterworth melalui tingkap tandas dan melarikan 65 telefon pintar mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku 2.33 pagi semalam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, berdasarkan laporan, juruwang premis berkenaan baru hendak memulakan kerja pada 10.20 pagi sebelum terkejut apabila mendapati sejumlah telefon pintar dalam ruang pameran hilang.
Katanya, juruwang berkenaan kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati terdapat kesan umpil pada tingkap tandas serta sebuah kerusi.
“Berdasarkan rakaman CCTV, kelibat lelaki memasuki premis berkenaan melalui tandas.
“Wajahnya sempat dirakam kamera sebelum dia memakai topeng dan mengambil telefon pintar,” katanya.
Sepasukan polis yang membuat pemeriksaan selepas menerima laporan juruwang berkenaan menemui dua kesan cap jari pada tingkap tandas.
Noorzainy berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan akan menganalisis rakaman CCTV bagi mengesan suspek yang dipercayai bertindak seorang diri.