JOHOR BAHRU, JOHOR – Peratusan keluar mengundi yang direkod pada kadar rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin berpunca dari kelesuan politik dalam kalangan pengundi, Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, rasa muak dan kecewa pengundi terhadap keadaan politik di Malaysia menjadi pengaruh kepada peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Peratusan keluar mengundi yang rendah ini juga barangkali disebabkan oleh ramai pengundi berhati-hati dan takut dengan jangkitan Covid-19, jadi mereka ambil keputusan untuk tidak keluar mengundi…
“Selain itu, mungkin kurang pengundi luar yang balik khususnya dari Singapura, Selangor, Melaka dan mungkin mereka baru sahaja balik semasa cuti umum sebelum ini seperti semasa perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad juga berpendapat bahawa kebimbangan terhadap penularan COVID-19 menjadi salah satu punca peratus keluar mengundi rendah.
“Saya dapati ramai pengundi daripada golongan dewasa mungkin bimbang kes Covid- 19 menyebabkan mereka tidak begitu ghairah keluar mengundi.
“Situasi ini melibatkan semua kaum,” ulas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu.
Setakat 5 petang tadi, PRN Johor mencatat jumlah peratusan keseluruhan mengundi sebanyak 50 peratus.