Program Rebat Madani 30 Perarus Yayasan Sabah Dilanjutkan Hingga 30 September 2025

Program Rebat Madani 30 Perarus Yayasan Sabah Dilanjutkan Hingga 30 September 2025

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mengumumkan lanjutan Program Rebat Madani 30 peratus sehingga 30 September 2025, susulan sambutan yang amat menggalakkan.

Program itu menawarkan rebat 30 peratus ke atas baki pinjaman kepada peminjam yang melunaskan keseluruhan pinjaman mereka sekaligus.

Sejak dilancarkan pada 1 April, seramai 96 peminjam telah menikmati rebat berjumlah RM232,817, manakala kutipan bayaran mencecah RM651,680.

Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar, program ini bertujuan meringankan beban peminjam dan mempercepatkan pusingan dana bagi penajaan pendidikan.

“Peminjam yang menyertai turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah, termasuk penginapan 3H2M di Borneo Rainforest Lodge serta lebih 20 hadiah lain.

“Peminjam yang belum memulakan atau telah tertunggak bayaran balik digesa melunaskan hutang bagi memastikan kesinambungan dana tajaan pendidikan Yayasan Sabah,” katanya.

Penambahbaikan Portal Pembayaran Balik Pinjaman juga diumumkan bermula Ogos 2025.

Portal ini membolehkan peminjam mengurus pembayaran, permohonan penjadualan semula, penangguhan bayaran, potongan gaji, penyata tahunan dan kemas kini maklumat.