Program Saringan Kesihatan Percuma Membantu KKM Buat Saringan Awal Kepada Golongan B40

Program Saringan Kesihatan Percuma Membantu KKM Buat Saringan Awal Kepada Golongan B40

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan Percuma kepada golongan B40 dan Program Derma Darah telah diadakan di Dewan Pagansakan, Inobong, Penampang pada Ahad lalu.

Ianya dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Penampang, Noemi Dyena Johntren.

Beliau berkata, tujuan program tersebut adalah untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi saringan yang lebih awal bagi golongan B40 di Sabah untuk mengelakkan daripada penyakit yang tidak berjangkit.

“Penyakit seperti kolestrol tinggi, masalah jantung, buah pinggang dan tekanan darah tinggi supaya mereka boleh mendapatkan rawatan yang lebih awal untuk mengelakkan daripada sakit yang tenat…

“Disamping itu juga, Program Derma Darah turut diadakan bertujuan untuk membantu pihak hospital bagi menampung bekalan darah bagi yang memerlukan.

“Pihak penganjur telah berjaya mendapat 120 penduduk yang hadir untuk membuat saringan kesihatan dan hampir 50 penderma yang turut hadir untuk menderma darah pada hari tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Program itu dianjurkan oleh Permai Polyclinics Sabah bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Protecthealth Corporation, Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Penampang, Lions Club of Hongkod Koisan KDCA, Lions Club of KK City dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Inobong dan Kolopis.

Tetamu jemputan khas yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin; Pengurus PEKA B40 Sabah dna Sarawak, Dr Mohd Nur Firdaus Johari; Pengerusi Permai Polyclinics Sabah, Datuk Dr James Jeramiah; Ketua Pegawai Perhubungan Permai Polyclinic, Datuk Margaret Lim; Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Daerah Penampang, Datin Seri Panglima Celestina K Jinu dan Wakil Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang Dr Shamsul Kamal bin Abd Latip.