Projek KKLW Bermasalah Akibat Tidak Diselaraskan – Musa Aman

Projek KKLW Bermasalah Akibat Tidak Diselaraskan – Musa Aman

0
SHARE

PITAS – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata banyak projek infrastruktur asas luar bandar di Sabah, termasuk bekalan air dan elektrik yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015 bermasalah kerana pelaksanaannya tidak diselaraskan kementerian itu dengan kerajaan negeri.

Menurut laporan portal berita Bernama, beliau dipetik berkata antara projek bermasalah itu ialah kegagalan membina pencawang pembahagian utama (PPU) di Simpang Bongkol, Pitas sehingga menjejaskan peluang penduduk di 13 buah kampung untuk mendapat bekalan elektrik.

“Saya tahu ada masalah bekalan elektrik di sini. Di Tenom dan Nabawan pun ada masalah. Ada projek bekalan elektrik tetapi tiang sahaja ada, bekalannya tiada. Ada juga projek bekalan air, loji ada tetapi paip tiada. Mengapa jadi begini?

“Penyelarasan projek ini tidak dapat dilakukan kerana kementerian pada waktu itu langsung tidak membincangkan projek di Sabah dengan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan Masyarakat Pitas di sini hari ini sempena lawatannya ke Pitas.

Turut hadir tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Yahya Hussin, Tan Sri Pairin Kitingan dan Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah.

Menurut Musa, sekiranya wang sebanyak RM7.5 bilion yang diperuntukkan kepada KKLW pada tempoh itu dirancang penggunaannya sebaik-baiknya dengan melibatkan kerajaan negeri, banyak masalah masyarakat  di luar bandar, khususnya kemudahan asas dapat diselesaikan.

Mengenai tuduhan kononnya beliau (Musa) mengeksploitasi balak di Sabah, Musa berkata: “Kita mendapat pujian dunia. Kita mempunyai dasar pemuliharaan hutan yang terbaik di rantau ini. Sebanyak 700,000 hektar hutan kita tanam semula. Apa eksploitasinya?”

Menurutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi pencegahan rasuah di luar negara pernah menyiasat mengenai tuduhan eksploitasi balak berkenaan namun agensi itu mendapati ia tidak berlaku.