KOTA KINABALU, KEMASKINI: Proses penggerudian empat telaga tiub bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah mula dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, empat telaga tibu itu adalah sebahagian daripada enam telaga yang dikenal pasti lokasinya.
“Sekarang adalah proses penggerudian empat telaga tiub yang sudah dikenal pasti lokasinya dan pihak Unit Pelaksanaan Penyelarasan (ICU) juga sudah membuat lawatan ke lokasi tersebut dan ini akan dilaporkan setiap minggu.
“Isnin minggu depan ini kita akan mengadakan mesyuarat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ini akan dilaporkan. Menteri KPT juga akan beri laporan kepada mesyuarat kabinet pada hari berikutnya, jadi kita akan memantau perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Acara Mencelik Mata Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Inanam semalam.
Sabtu lalu (13 Jan), Mustapha diberi taklimat mengenai kerja mengenal pasti lokasi telaga tiub oleh pakar geologi dan wakil kontraktor yang melaksanakan projek berkenaan selepas masalah air yang dihadapi pelajar UMS mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kontraktor yang dilantik perlu menyiapkan keseluruhan projek itu sehingga air dapat disalurkan ke kolej-kolej kediaman pelajar mengikut tarikh tempoh kontrak yang ditetapkan, iaitu pada penghujung Mac ini.
“Jadi kita sedang kejar status pelaksanaan projek ini supaya kita dapat memastikan bahawa isu-isu yang dikemukakan oleh pelajar ini dapat diselesaikan.
“Tapi saya mahu tekankan sekali lagi bahawa ini adalah projek jangka masa pendek untuk membantu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang sekarang ini sedang berusaha memulihkan dan menstabilkan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu terutamanya.
“Jadi apa yang kita buat ini hanya langkah sementara sahaja. Kita mahu supaya kita bergantung terus dengan sumber air yang bersih dan terawat dari JANS,” tegasnya.
Justeru itu, Mustapha menegaskan agar JANS bersama Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Negeri untuk terus memantau perkara ini agar dapat membantu warga UMS khususnya pelajar untuk mendapat bekalan air terawat secara berterusan daripada JANS.