PUNS Sedia Bagi Sokongan Kepada Peserta Unduk Ngadau Yang Alami Gangguan Seksual

PUNS Sedia Bagi Sokongan Kepada Peserta Unduk Ngadau Yang Alami Gangguan Seksual

0
SHARE
Pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS), Ellyanti P. Nelson...

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) bersedia memberikan segala sokongan kepada mana-mana peserta yang mengalami gangguan seksual berikutan kes tular pengeksploitasian seorang peserta baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS), Ellyanti P. Nelson, berkata pihak mereka memandang serius terhadap kes yang kini dibawah siasatan pihak polis.

“Kami (PUNS) mendengar suara anda dengan jelas dan akan menyokong usaha anda untuk memperolehi keadilan yang sewajarnya dan turut merasa bangga dengan keputusan yang diambil untuk tampil menyuarakan insiden yang berlaku…

“Ia sememangnya bukan mudah dan telah meletakkan anda di posisi yang amat sukar dan mencabar.

“Namun, PUNS berpandangan bahawa semua wanita Unduk Ngadau (UNK) perlu berganding bahu dan saling menyokong dalam usaha menyuarakan apa-apa bentuk gangguan atau perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap wanita,” katanya.

Beliau terus berkata perkara ini perlu dijadikan contoh oleh semua wanita Unduk Ngadau agar berani untuk bersuara demi memelihara maruah dan martabat wanita Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

“Suminundu (isteri dewa kepercayaan masyarakat KDMR) pun pada satu ketika dahulu pernah mengalami cabaran dan berani mengambil tindakan yang wajar bagi menyelamatkan masyarakat KDMR sehingga diangkat sebagai wanita yang mulia dikenali sebagai Huminodun…

“Sebagai masyarakat KDMR kita memegang prinsip dan nilai ‘Mitabang’ atau semangat kekitaan dan berganding bahu dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Kami merayu kepada seluruh warga KDMR untuk saling berusaha dan berganding bahu untuk memperkasakan peranan wanita UNK agar mereka terus diberikan hak bersuara dalam semua aspek serta menyokong usaha untuk membina keyakinan semua wanita KDMR,” tambahnya.

Di samping itu, PUNS juga menyeru agar tiada sebarang gangguan ataupun pengaruh oleh mana-mana pihak ke atas peserta UNK ini sepanjang proses siasatan dijalankan.