Rasuah Perkhidmatan Tunda: Bekas Pengarah JPDS Didenda RM700,000

Rasuah Perkhidmatan Tunda: Bekas Pengarah JPDS Didenda RM700,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Abel Ongkunik, 52, dikenakan denda berjumlah RM700,000 selepas mengaku bersalah atas 15 pertuduhan rasuah melibatkan perkhidmatan tunda kapal.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman itu semalam selepas Abel mengaku bersalah pada 14 Mac lalu terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan susulan penerimaan surat representasi kepada pihak pendakwaan.

Jumlah keseluruhan suapan yang terlibat adalah RM632,296.03.

Abel didakwa menerima rasuah antara RM33,000 hingga RM60,000 daripada dua syarikat berkaitan tugas rasminya antara tahun 2017 dan 2018.

Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun tiga syarikat di beberapa cawangan bank sekitar Kota Kinabalu, Lido dan Kota Belud.

Kesalahan berkait kelulusan perkhidmatan tunda di kawasan pelabuhan Kimanis dan lesen kerja tunda kepada sebuah lagi syarikat.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.