Real Madrid Juara Eropah Selepas Tewaskan Borussia Dortmund 2-0

Real Madrid Juara Eropah Selepas Tewaskan Borussia Dortmund 2-0

0
SHARE
Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di Wembley, London...(Sumber Foto: Reuters)

LONDON – Real Madrid terus melebarkan rekod sebagai juara Eropah buat kali ke-15 selepas menewaskan Borussia Dortmund 2-0 pada final Liga Juara-Juara Eropah di Wembley sebentar tadi.

Dalam aksi yang mendebarkan itu, Real Madrid kelihatan lebih kerap diancam Dortmund tetapi akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Dani Carvajal dan Vinicius Jr.

Memetik laporan Reuters, gol pertama kelab gergasi Sepanyol hasil daripada bek kanan veteran, Carvajal menanduk bola sepakan sudut diambil Toni Kroos pada minit ke-74 berjaya menyuntik semangat anak buah Carlo Ancelotti untuk mula mendominasi permainan.

Dani Carvajal (tengah) menanduk masuk gol pertama Real Madrid ketika aksi final Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund di Wembley, London…(Sumber Foto: Reuters)

Vinicius menolak masuk gol kedua Real pada minit ke-83 untuk memastikan gelaran Eropah ke-15 Real.

Ia kekalahan yang memeritkan buat kelab Jerman itu selepas beberapa peluang keemasan membuka jaringan di babak pertama gagal dimanfaatkan, terutama menerusi percubaan jarak dekat Niclas Fullkrug yang terkena tiang.

Fulkrug akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois di akhir permainan, namun jaringan berkenaan tidak dikira kerana ofsaid.