TAMPARULI, SABAH – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai di Kampung Kimonsi, Kampung Botung petang kelmarin.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.05 petang sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK II Masalang Sintakan berkata, setibanya pasukan di lokasi sekitar jam 6.24 petang, penduduk kampung sudah berada di tebing sungai dan memaklumkan mangsa hilang ketika bermandi-manda bersama rakan.
Mangsa dikenali sebagai Randell Junior Rony.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan di kawasan sungai dengan bantuan penduduk setempat. Setakat ini mangsa masih belum ditemukan.
Walau bagaimanapun, JBPM memaklumkan perkembangan operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.






