Sabah Akan Bincang Keputusan Kerajaan Persekutuan

Sabah Akan Bincang Keputusan Kerajaan Persekutuan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kabinet Sabah akan membincangkan apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan berkaitan pelanjutan cuti sekolah ekoran fenomena cuaca panas di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata sebarang keputusan persekutuan akan dibawa ke mesyuarat di peringkat negeri.

“Kita akan bincang dengan pihak dari federal dan pihak kementerian di sini dan kita akan bincang juga di peringkat kabinet apa-apa keputusan berhubung sekolah,” ujarnya.

Ditanya mengenai wabak batuk kokol yang merekodkan satu kes maut di negeri ini, Arifin menjelaskan pihaknya akan memanggil Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sabah untuk mendapatkan pandangan.

“Itupun diambil kira dan saya akan memanggil PPD di semua daerah untuk mendapatkan pandangan mereka berkaitan isu di sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2023 di sini, pada Ahad.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jemaah menteri akan membincangkan keperluan melanjutkan cuti sekolah berikutan fenomena panas tersebut.

Mengenai sambutan Arifin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis terbabit memaklumkan, seramai 20,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan majlis berskala besar itu di samping mengambil peluang untuk berjumpa dengan para pemimpin terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri sangat gembira dengan penganjuran majlis ini dan mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah,” tambahnya.

Pada majlis itu, lebih 55 gerai turut serta dengan menghidangkan pelbagai juadah bermula jam 9 pagi hingga 2 petang. —JABATAN PENERANGAN SABAH