Kemalangan Di Jalan UMS Ragut Dua Nyawa, Seorang Cedera Parah

Kemalangan Di Jalan UMS Ragut Dua Nyawa, Seorang Cedera Parah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Dua individu maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di Jalan UMS berhampiran Sulaman Kingfisher dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 10.45 pagi membabitkan dua kenderaan.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa iaitu pemandu lelaki berumur 19 tahun dan penumpang wanita yang masih belum dikenal pasti identiti dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada anggota badan.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang parah iaitu pemandu lelaki berumur 33 tahun mengalami kecederaan tulang pinggul terkeluar dari kedudukan asal.

Memetik laporan Utusan Borneo, siasatan awal terhadap saksi yang berada di lokasi kejadian mendapati sebelum kejadian pemandu yang parah dalam perjalanan dari arah Indah Permai menghala ke pusat bandaraya.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah kenderaan yang datang dari arah pusat bandaraya menghala ke Indah Permai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan…

“Akibat daripada itu, berlaku pertembungan di antara kedua-dua kenderaan terbabit dan mengakibatkan pemandu dan penumpang kereta yang hilang kawalan mengalami kecederaan parah.

“Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan dan dibawa keluar oleh sepasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan mengesahkan kejadian di sini hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemandu kenderaan yang cedera parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya, manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE untuk tindakan lanjut…

Dalam pada itu beliau berkata, kesemua mangsa yang terlibat tidak disyaki mabuk. Walau bagaimanapun, spesimen milik mangsa yang parah diambil dan spesimen daripada mangsa yang maut turut akan diambil setelah bedah siasat dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisa.