Sabah Beri Peruntukan Khas RM3.1 Juta Kepada 31 ADUN Pembangkang

Sabah Beri Peruntukan Khas RM3.1 Juta Kepada 31 ADUN Pembangkang

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan peruntukan khas RM 3.1 juta untuk diberikan kepada 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, peruntukan khas RM100,000 kepada setiap seorang wakil rakyat pembangkang sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Peruntukan ini untuk membantu wakil rakyat pembangkang dalam usaha meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing akibat pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berharap peruntukan itu dapat membantu memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan DUN yang dikuasai pembangkang.

Peruntukan khas yang membabitkan jumlah keseluruhan RM3.1 juta itu akan disalurkan secepat mungkin kepada semua ADUN pembangkang melalui Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.

Mengenai majlis itu, Hajiji berharap semua yang baharu dilantik itu dapat membantu kerajaan dalam merealisasikan aspirasi rakyat dan bersama merancakkan pembangunan khususnya di Tuaran.