Sabah Rangka Pelan Hala Tuju Pulihkan Sektor Pelancongan Sabah Pasca COVID-19

Sabah Rangka Pelan Hala Tuju Pulihkan Sektor Pelancongan Sabah Pasca COVID-19

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Satu pelan hala tuju akan dirangka sebagai sebahagian langkah pemulihan sektor pelancongan Sabah pasca-COVID-19, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata perkara itu diputuskan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan Sabah, yang dipengerusikannya, di pejabat Lembaga Pelancongan Sabah di sini hari ini yang julung kali diadakan.

“Pembentukan pelan hala tuju ini dipersetujui dalam mesyuarat hari ini bersama-sama para penerajui industri pelancongan Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Pelan itu, antara lain, bertujuan melindungi pekerjaan dan perniagaan menerusi insentif, tarif dan diskaun.

Beliau berkata apa yang penting, ia akan dirangka sejajar dengan strategi berperingkat yang ditekankan kerajaan iaitu pemulihan (recovery), memperkasakan (revitalise) dan penyusunan semula (penyusunan semula).

Joniston berkata peserta industri menggesa agar bantuan yang disediakan sewajarnya bersifat inklusif supaya ia dapat mencapai kumpulan sasaran.

Datuk Joniston Bangkuai…

“Turut dibincangkan adalah supaya keperluan kalangan pekerja sektor pelancongan untuk memperoleh kemahiran baharu dan kemahiran tambahan dapat dipermudahkan menerusi kaedah dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya.

Peneraju industri juga bersetuju supaya pelancongan domestik di zon hijau Sabah dapat ditingkatkan.

Mesyuarat itu turut mencadangkan kemungkinan memperkenalkan akreditasi hijau bagi semua perniagaan pelancongan dan hospitaliti di Sabah sebagai langkah untuk membenarkan pembukaan semula perniagaan mereka.

Joniston berkata kesimpulannya, mesyuarat tersebut membincangkan cabaran dan mendapatkan input untuk masa depan pelancongan Sabah dengan harapan penemuan vaksin COVID-19.

Semua input itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri, katanya.