SABAH SEDIA JADI HAB KEMAJUAN TEKNOLOGI: KM HAJIJI

SABAH SEDIA JADI HAB KEMAJUAN TEKNOLOGI: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melawat pameran sempena majlis perasmian "MTDC Road to Growth (R2G) 2024- Sabah" di Sabah International Convention Centre (SICC) - ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi dengan inovasi digalakkan dan dipupuk secara aktif kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurutnya, integrasi teknologi dan inovasi
merupakan antara aspek penting dalam pembangunan ekonomi.

Katanya, pihaknya berhasrat untuk mencipta ekosistem yang menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggalakkan transformasi digital serta memupuk budaya inovasi di negeri Sabah.

“Komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur, selain meneroka sumber ekonomi baharu.

“Ini termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Fokus kita masa ini ialah mewujudkan persekitaran kondusif bagi perkembangan
perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri, serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis MTDC Road to Growth (R2G) 2024 Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Hashim Paijan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah dikenalpasti menjadi salah satu pemangkin penting yang memacu pembangunan sosioekonomi.

Justeru katanya, Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif
untuk memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di Sabah.

Selain itu katanya, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan meneruskan pelbagai program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap termasuk memacu industri animasi negeri sebagai Pusat Latihan Berlesen Toon Boom pertama di Malaysia.

“SCENIC telah dinobatkan Anugerah Khas -”The Most Impactful Public Agency in Driving Digital Adoption” di Top Tech Innovation Award 2022 yang disokong oleh MOSTI.

“Justeru, saya berharap program “Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Road to Growth (R2G) 2024-Sabah dapat membantu melahirkan lebih ramai penyelidik dan usahawan yang berinovasi,” tegasnya.