KOTA KINABALU, SABAH – Sabah akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) 2023, Jun ini.
Presiden PPPM Cawangan Sabah, Kartini Arif berkata, mesyuarat tersebut akan dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Penaung PPPM.
“Mesyuarat Agung 2023 PPPM ini akan kita adakan secara serentak dengan Persidangan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PPPM Peringkat Kebangsaan di salah sebuah hotel terkemuka bermula 22 hingga 25 Jun.
“Walau bagaimanapun, majlis perasmiannya diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 22 Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Kartini turut memaklumkan tujuan kunjungan itu adalah untuk menyampaikan kepada Toh Puan Norlidah berkaitan program PPPM sekaligus menjemput beliau selaku Penaung PPPM Cawangan Sabah hadir ke mesyuarat tersebut yang turut dihadiri Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tambah Kartini, antara pengisian mesyuarat berkenan ialah membincangkan program-program PPPM yang akan dilaksanakan, selain penyampaian Anugerah Pandu Puteri DiRaja, Anugerah Pesuruhjaya-pesuruhjaya Terbaik dan anugerah kepada ahli-ahli atau orang perseorangan yang aktif dalam memberi khidmat cemerlang kepada persatuan,” ujar beliau.
Turut hadir, Pesuruhjaya PPPM Cawangan Sabah, Shirley Wong, Pegawai Perhubungan PPPM Sabah, Normah Jaafar dan Pegawai Badan Eksekutif (Exco) PPPM Sabah, Kathy Tsen dan Emily Yapp.
Untuk rekod, kali terakhir Sabah diberi mandat sebagai tuan rumah ialah pada tahun 2006. — JABATAN PENERANGAN SABAH