KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berpendapat bahawa Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal, hanya mampu menyalahkan diri sendiri apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar dari parti itu.
“Mereka yang keluar parti bertindak sedemikian sebab WARISAN tidak lagi sesuai menjadi platform memperjuangkan hak-hak dan membela rakyat.
“Ini kerana para pemimpin utama parti itu lebih gemar menimbulkan polemik dan ketidakstabilan politik yang hanya menyusahkan rakyat dan mengganggu agenda kerajaan membangunkan negeri ini,” katanya.
Nizam berkata dakwaan Shafie bahawa ADUN WARISAN keluar parti kerana dibeli bukan sahaja cerita fitnah tetapi politik murahan yang cuba memalitkan imej negatif kepada kerajaan Sabah dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
“Jika beliau mempunyai bukti ADUN WARISAN dibeli seperti yang didakwa, maka laporlah pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya hanya membuat dakwaan retorik kerana kelemahannya sendiri lalu menyalahkan orang lain.
“Sepatutnya Shafie bermuhasabah diri bahawa kepimpinan beliau bukan sahaja ditolak oleh ADUN dari partinya sendiri tetapi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU15) November lalu mendapati parti itu telah semakin ditolak rakyat.
“Ini berikutan apabila WARISAN gagal mempertahankan lima kawasan parlimen yang disandangnya semasa PRU-14 lalu termasuklah kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Penerangan Parti itu,” katanya.