SEMPORNA, SABAH – Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin berkata, sambutan Regatta Lepa yang mempromosikan budaya dan keunikan tradisi suku kaum Bajau di Semporna dapat memberi impak positif kepada sektor ekonomi menerusi industri pelancongan.
Beliau berkata, melalui pelbagai acara dan program kebudayaan suku kaum Bajau yang dipersembahkan kepada tontonan semua lapisan masyarakat, dapat memartabatkan lagi budaya.
“Pesta ini diperkenalkan pada tahun 1994 oleh Majlis Daerah Semporna merupakan satu sambutan bagi meraikan warisan sejarah etnik Bajau di daerah Semporna agar tidak luput ditelan zaman.
“Regatta Lepa banyak mengetengahkan unsur budaya dan tradisi, namun kita yakin manfaat dan impak positifnya turut menyumbang kepada sektor ekonomi serta sosial masyarakat khususnya dalam industri pelancongan.
“Kehadiran pelancong-pelancong tersebut menjadi sumber aset kepada Kerajaan dalam memperkasakan bidang pelancongan di negeri ini terutamanya dalam aspek pendapatan negara,” katanya pada Majlis Perasmian dan Sangom Maglami-Lami Sambutan Regatta Lepa kali ke-27 Bagi Tahun 2022 di Dataran Regatta Lepa, pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Dr Juhar Mahiruddin.
Beliau percaya setelah sebulan pesta itu berlangsung, ia telah memperkukuh dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya.
Hadir sama, isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pegawai Daerah, Juraimin Jadil.