Sambutan Tahun Baharu Dibatalkan, Ganti Solat Hajat Dan Doa Selamat – PM

Sambutan Tahun Baharu Dibatalkan, Ganti Solat Hajat Dan Doa Selamat – PM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Solat hajat dan doa selamat dilaksanakan bagi menggantikan sambutan Tahun Baharu 2022sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia supaya menganjurkan solat hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022, hari ini (31 Dis) di Masjid Putra, Putrajaya yang bermula pada jam 7 malam.

“Dengan itu, saya mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada malam esok (hari ini)…

“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Perdana Menteri turut menyarankan masjid di seluruh negara terutamanya masjid negeri agar menganjurkan majlis sama.

Tambah beliau, Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

Beliau berharap segala usaha yang dilakukan akan mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.