RIYADH – Mahkamah Rayuan Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka, Sheikh Saleh Al Talib.
Memetik laporan BH, pihak berkuasa Saudi menahan Sheikh Saleh pada Ogos 2018, selepas didakwa menyampaikan khutbah yang mengkritik badan kerajaan bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di negara itu.
Beliau dipercayai mengecam konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada norma agama dan budaya mereka dalam khutbahnya.
“Mahkamah Rayuan Jenayah Khusus di Riyadh, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Imam Masjidil Haram, Syeikh Saleh Al Talib…
“Ini juga sekali gus membatalkan keputusan pembebasan terhadapnya,” kata Pertubuhan untuk Demokrasi di Dunia Arab (Dawn) melalui Twitter, semalam.
Penahanan Sheikh Saleh dilakukan ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, meneruskan usaha reformasi masyarakat dengan menahan ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda pembaharuan.