SANDAKAN: Sandakan bakal menjadi lokasi kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) pertama di negeri ini dengan penubuhan loji oleh Maxland Auto Sdn Bhd di POIC Sandakan.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata syarikat itu telah memperoleh Lesen Pembuatan Persekutuan (FML) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tahun lalu dan kini bersedia menerajui perindustrian hijau di Sabah.
“Maxland Auto sedang membina asas untuk masa depan yang lebih lestari dan inovatif, mendorong kemajuan dalam pengangkutan tenaga bersih serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di Sabah,” katanya semasa lawatannya ke kilang itu semalam.
Beliau menegaskan komitmen kementeriannya bersama agensi berkaitan dalam menyokong pelaburan seperti Maxland Auto bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang diperlukan untuk berkembang maju di Sabah. Inisiatif ini juga sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk mempelbagaikan industri dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Maxland Auto telah merancang pelaburan sebanyak RM100 juta menjelang 2028, dengan jangkaan mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan pada fasa ketiga pembangunan, termasuk pembinaan kilang pembuatan. Projek ini dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan tempatan, serta menjadikan Sandakan sebagai pemain utama dalam industri EV.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Joseph Kinson; Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Rodolfo Blantocas; Pengarah MIDA Sabah, Joseph Benjamin; dan Timbalan Pengerusi Invest Sabah Berhad, George Wong.






