Warga Emas Antara Dua Lelaki Ditahan, Miliki Syabu di Lahad Datu

Warga Emas Antara Dua Lelaki Ditahan, Miliki Syabu di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang warga emas berusia 73 tahun antara dua lelaki yang ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam dua tangkapan berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada Isnin.

Polis Lahad Datu dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi tangkapan pertama kira-kira jam 10.30 pagi, polis yang menjalankan Op Tapis menahan seorang lelaki tempatan di kawasan Kampung Sarang Burung, Jalan Lahad Datu–Tungku.

“Pemeriksaan mendapati suspek memiliki 0.14 gram dadah disyaki syabu, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan positif.

“Dalam operasi berasingan, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 51 tahun di Jalan Dam, Lahad Datu.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 0.10 gram dadah disyaki syabu yang disimpan di dalam kotak rokok milik suspek. Ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan berkenaan membuktikan komitmen berterusan polis dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan dadah di kawasan masing-masing.