SELANGOR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa terima kasih kepada pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) serta pakar perubatan jemputan lain yang merawat beliau semasa beliau menjalani rawatan di institut tersebut.
Menerusi satu hantaran video berdurasi 8 minit di Facebooknya semalam, beliau menyangka bahawa hayatnya sudah tidak lama lagi. Tetapi atas pengorbanan dan kepakaran pakar-pakar perubatan di IJN, beliau kini pulih semula.
“Saya benar-benar percaya, hayat saya sudah sampai, tetapi entah macam mana doktor-doktor dapat pulihkan kesihatan saya…
“Bagi saya, itu adalah satu keajaiban, saya tidak menyangka untuk hidup. Saya jangka akan mati kerana saya sudah tua dan juga menghidap penyakit serius yang memberi kesan pada jantung saya.
“Apabila jantung lemah, ia memberi kesan kepada paru-paru dan apabila paru-paru lemah ia beri kesan kepada buah pinggang dan seterusnya.
“Tetapi entah bagaimana doktor-doktor dapat memulihkan saya dan akhirnya saya dibenarkan keluar dan agak sihat, bukan seratus peratus tetapi ia cukup untuk saya meneruskan kerja yang perlu saya lakukan,” kata Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi.
Menurutnya, beliau berbangga dengan pencapaian Malaysia sekarang, ini kerana rakyat sudah tidak perlu pergi ke luar negara hanya untuk mendapatkan rawatan.
“Di Malaysia, kini kita mempunyai pakar-pakar perubatan yang boleh merawat kes seperti saya ini, penyakit yang amat serius,” tambahnya.
“Seperti yang anda tahu saya juga dilatih sebagai doktor dan semasa saya bermula pada akhir 1950-an dan awal 1960-an. Pada ketika itu terdapat ‘slot khas’ untuk doktor Malaysia terutamanya doktor Melayu, doktor-doktor di hospital pada masa itu dikenali sebagai pembantu pegawai perubatan.
“Tidak ada orang Asia yang boleh menjadi pegawai perubatan. Ini kerana tiada kepercayaan terhadap doktor Malaysia.
“Tetapi pada hari ini, Malaysia sudah boleh melakukan pembedahan seperti kes bayi kembar siam. Ini menunjukkan kita (Malaysia) telah mencapai kemajuan yang sangat besar.
“Saya percaya sepenuhnya bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain boleh lakukan. Semasa saya (sebagai perdana menteri) saya pernah bercakap bahawa Malaysia boleh, kita boleh,” katanya
Terdahulu, pada 7 Januari yang lepas, beliau telah dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari. Namun, beliau kemudian dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang pada 5 Februari.





