KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, Shahlan Jufri, tampil menafikan cubaan pihak tertentu yang mengaitkan gambar lamanya bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dengan kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.
Gambar yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan Shahlan bersama beberapa pemimpin dan peguam lain dalam satu pertemuan.
“Penularan itu mencetuskan spekulasi dan tuduhan kononnya ia berkaitan dengan kes Zara, sedangkan menurut beliau gambar tersebut sebenarnya dirakam pada Jun 2025, iaitu jauh sebelum tragedi berlaku.
“Cubaan pihak tertentu mengaitkan gambar itu dengan kes Zara adalah satu fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat. Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk arwah Zara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Shahlan turut menyenaraikan beberapa langkah penting yang telah berjaya dilaksanakan sejak beliau dilantik sebagai peguam keluarga mangsa, antaranya: penggalian semula kubur dan pelaksanaan post mortem; lebih lapan jam berada di bilik bedah siasat atas permintaan anak guam.
Seterusnya, permohonan agar pelaku dikenakan hukuman lebih berat sehingga maksimum 10 tahun serta permohonan inkues yang kini dibenarkan dan sedang berjalan.
Beliau menegaskan segala tindakannya dilakukan secara profesional, berlandaskan integriti undang-undang tanpa tunduk kepada sebarang tekanan politik mahupun luar.
“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan atau cubaan memesongkan perjuangan ini. Sejak hari pertama saya dilantik, fokus saya hanya untuk memastikan keadilan buat arwah Zara,” katanya.
Gambar lama yang kembali tular itu sebelum ini turut digunakan oleh sesetengah pihak untuk menimbulkan persepsi negatif di media sosial.
Namun, kenyataan rasmi Shahlan sekali gus menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan komitmen beliau hanya kepada keluarga mangsa.






