TAWAU, SABAH – Sepasang suami isteri warga emas dan anak perempuan mereka disamun tiga perompak bersenjata di rumah mereka di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas pada kira-kira jam 3 pagi, Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Superitendan Champin Piuh berkata, kesemua mangsa berusia antara 40-an hingga 60-an itu diikat menggunakan wayar pengecas telefon.
“Walau bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Turut berada di dalam rumah ketika kejadian ialah empat orang cucu.
“Semua mangsa sedang tidur sebelum dikejutkan tiga lelaki bertopeng yang memecah masuk pintu utama sambil memegang parang panjang.
“Perompak melarikan wang tunai, barang kemas, beberapa telefon bimbit dan dua tablet dengan anggaran kerugian RM4,500,” katanya.
Polis kini memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.