KOTA KINABALU, SABAH – Semangat pengorbanan di dalam sambutan Hari Raya Aidiladha perlu diterapkan dalam diri masyarakat di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Shahelmey Yahya berkata semangat pengorbanan itu perlu dihayati terutamanya kepada mereka yang diperlukan bertugas semasa pandemik COVID-19 ini.
“Kita faham dalam suasana kita masih dalam pandemik COVID-19 ini, petugas barisan hadapan (frontliners) tanpa putus asa dengan semangat yang berterusan membantu menjaga keselamatan rakyat di negeri ini…
“Dengan adanya hubungan yang erat di antara barisan petugas hadapan dan juga masyarakat maka kita akan dapat menjaga keselamatan, keamanan dan kemakmuran di negeri dan juga negara kita” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan lembu korban kepada petugas barisan hadapan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung keramat itu berharap dengan penyerahan lembu korban kepada petugas barisan hadapan sekitar kawasan Putatan itu dapat menyuntik semangat mereka dalam menjalankan tugas.
Turut hadir semasa penyerahan lembu korban sumbangan Pejabat ADUN N.24 Tanjung Keramat itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.24 Tanjung Keramat; Sufian Matin.