Semua Loji Rawatan Air Berfungsi Kecuali Loji Di Kasigui Penampang

Semua Loji Rawatan Air Berfungsi Kecuali Loji Di Kasigui Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Semua Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya berfungsi seperti biasa kecuali (LRA) di Kasigui di Penampang.

Kerja-kerja penyelenggaraan di LRA (WTP) Kasigui sedang dijalankan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya.

“Namun, paras air sungai yang agak tinggi ketika ini menjadi kekangan kepada kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan,” katanya, dalam satu kenyataan semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, bagi mengelak gangguan air di kawasan terjejas, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jetama Sdn Bhd telah mengaktifkan pengambilan Madziang dan mengepam air mentah dari salur untuk dirawat di LRA Kasigui sebelum diagihkan kepada pengguna.

“JANS juga akan terus memantau LRA sedia ada terutama pada musim banjir ini bagi memastikan air yang dihasilkan bersih dan selamat untuk digunakan.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Pada Isnin, Jabatan Air Negeri (JANS) mengumumkan empat loji rawatan air telah ditutup buat sementara waktu berikutan hujan dan banjir berterusan.

Menurut JANS, LRA Kasigui terpaksa ditutup pada Ahad selepas air banjir masuk ke dalam intake.