KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 300 pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz tampil berbeza menyambut Bulan Kebangsaan dan Hari Merdeka 2021 sekolah itu secara maya, pagi tadi.
Guru Besarnya, Salman Mohamad Amin berkata, para pelajar sekolah berkenaan nyata teruja dapat meraikan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 walaupun di sambut dalam suasana yang berbeza.
“Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan yang diadakan meriah dengan penglibatan pelajar dan guru…
“Program ini adalah rentetan aktiviti Bulan kebangsaan yang diadakan di peringkat sekolah bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan Negara ke-64 agar dapat menanam semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar meskipun dalam keadaan pandemik.
“Sambutan berkenaan bukan sahaja disertai oleh para pelajar tetapi juga dapat disaksikan oleh Ibu bapa dan penjaga melalui siaran langsung di laman rasmi Facebook sekolah,” katanya.
Program dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, doa dan Ikrar Rukun Negara sebelum acara perasmian yang diserikan dengan bacaan puisi patriotik, persembahan bercerita dan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh pelajar.
Tambah Salman, bulan kemerdekaan ini penting kepada generasi baharu bagi menyemai dan menjiwai semangat patriotik sejak dibangku sekolah.
“Sambutan kali ini hanya diadakan melalui atas talian mengikuti kelas masing-masing dan pelbagai acara telah diadakan sepanjang minggu lalu termasuk aktiviti mewarna, swafoto, kuiz, melukis, bercerita, puisi dan ceramah kemerdekaan…
“Meskipun Bulan Kebangsaan tahun ini disambut secara norma baharu tanpa perhimpunan namun acara pertandingan tetap menerima sambutan yang menggalakkan dengan pembabitan semua murid,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa yang memberi sokongan dan membantu melakukan persiapan terbaik untuk anak mereka menyertai setiap kategori yang dipertandingkan dalam merancakkan lagi kemeriahan sambutan ini.
Katanya, program itu, bukan sekadar mengimbau kembali perjalanan sejarah kemerdekaan tetapi menitikberatkan pengisian program agar dapat menanam semangat jati diri yang kental dalam kalangan generasi pelapis negara.