KOTA KINABALU: ADUN N.24 Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya meminta kerajaan mempertimbangkan kepelbagaian reka bentuk Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk rumah bertingkat bagi mengatasi kekangan tanah di kawasan Pantai Barat Sabah.
“Bagi kawasan pinggir pantai yang amat terhad ruang daratannya, saya menyarankan agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjelaskan perancangan untuk mempelbagaikan rekaan Rumah SMJ kepada rekaan Rumah Bertingkat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan program Rumah SMJ telah membina 4,482 unit sejak dilancarkan pada 2022.
Dalam perbahasan DUN Sabah, beliau juga membangkitkan isu jurang harga rumah dan pendapatan rakyat, khususnya di kawasan seperti Putatan, serta meminta penjelasan mengenai rumah mampu milik dan status projek PPR baharu.
“Apakah inisiatif Kerajaan dalam membina rumah mampu milik kos sederhana khusus bagi kawasan sub-bandar atau pinggir bandar seperti Putatan?” katanya.
Selain itu, beliau turut menuntut penjelasan mengenai isu tekanan air dan kesesakan lalu lintas di Tanjung Keramat serta Putatan, termasuk status projek Pan Borneo WP06 dan perancangan lebuh raya alternatif serta Coastal Highway.






