Skim Bantuan Khas Kumpulan Yayasan Sabah Bantu Hampir 1,000 Pelajar

Skim Bantuan Khas Kumpulan Yayasan Sabah Bantu Hampir 1,000 Pelajar

0
SHARE
Abidin
Abidin menyerahkan bantuan kepada seorang pelajar ( Sumber Foto: Ihsan Yayasan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kumpulan Yayasan Sabah telah mengadakan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Khas (SBK) Kumpulan Yayasan Sabah 2023 kepada pelajar B40 pagi tadi bertempat di Menara Tun Mustapha.

Majlis penyampaian tersebut telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

Dalam ucapannya beliau berkata, skim SBK bertujuan untuk menokok tambah usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam meringankan beban keluarga para pelajar daripada golongan B40, termasuk ibu bapa yang menerima bantuan e-Kasih.

“Seramai 318 orang pelajar terpilih yang kurang berkemampuan dari SMK Bandaraya, SMK Inanam, SMK Kolombong, SMK Likas, SMK Sanzac dan SMK St. Francis Convent akan menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Khas (SBK) Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun 2023.

“Daripada jumlah itu, seramai 53 orang pelajar daripada setiap sekolah akan menerima bantuan tersebut.

“Setakat tahun 2023, penerima keseluruhan bagi sumbangan ini untuk Zon Pantai Barat Selatan sahaja adalah seramai 954 orang pelajar,” jelasnya lagi.

Abidin berkata sumbangan yang diberikan Kumpulan Yayasan Sabah merupakan barangan yang diperlukan pelajar iaitu tiga buku rujukan SPM dan juga kalkulator saintifik.

“Saya percaya dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pelajar,” tambah beliau.

Selaras dengan penubuhannya, Kumpulan Yayasan Sabah komited untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar B40 bagi meningkatkan peluang pendidikan dan merapatkan jurang pencapaian pendidikan di Sabah.