SPCAKK Kecam JPVS Tidak Kenakan Hukuman Setimpal Terhadap Pembuang Haiwan

SPCAKK Kecam JPVS Tidak Kenakan Hukuman Setimpal Terhadap Pembuang Haiwan

0
SHARE
Kucing
Kedua-dua anak kucing yang diselamatkan ( Sumber Foto: Ihsan SPCAKK )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Kota Kinabalu (SPCAKK) mahu pembuang haiwan dikenakan hukuman setimpal sambil mengecam sikap bersahaja Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS).

Badan bukan kerajaan itu dalam satu kenyataan berang kerana JPVS menutup kes dua ekor anak kucing yang dibuang di hadapan sebuah klinik haiwan di sini pada 9 pagi 20 April lalu tanpa tindakan lanjut.

“Perbuatan tidak berhati perut itu telah dirakam dalam kamera litar tertutup. SPCAKK melaporkan kejadian itu kepada DVS pada 3 Mei.

“Menurut Enakmen Kebajikan Haiwan Sabah 2015, tindakan membuang haiwan merupakan jenayah yang boleh dihukum.

“Walaupun begitu, orang yang tidak bertanggungjawab itu tidak menghadapi sebarang hukuman atas jenayah mereka.

“Pelaku hanya perlu membayar sedikit bayaran perubatan dan kuarantin kepada JPVS kerana alasan mereka membuang anak kucing itu ‘boleh diterima’ oleh pihak berkuasa.

“Dalam pada itu, SPCAKK yang merupakan pertubuhan kebajikan haiwan bukan untung yang bergantung kepada sumbangan orang ramai sebaliknya ‘dihukum’ dengan perlu bertanggungjawab ke atas penjagaan berterusan anak-anak kucing itu, termasuk vaksinasi, peneuteran, dan kos makanan,” kata mereka.

SPCAKK berkata mereka merasakan keputusan JPVS tidak mencerminkan sifat melindungi kepentingan dan kebajikan haiwan itu.

“Ia membimbangkan, kerana ia bukan sahaja mengekalkan penderaan haiwan tetapi juga menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap undang-undang perlindungan haiwan kita.

“SPCAKK menyeru pencinta haiwan untuk bersatu dan menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini dan memastikan mereka yang merosakkan haiwan bertanggungjawab,” tambah mereka.