KOTA KINABALU, SABAH – Penyandang kerusi Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dijangka bakal mempertahankan kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun tidak dinamakan sebagai calon yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Memetik sumber media tempatan Free Malaysia Today (FMT) hari ini, Roland yang merupakan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu bakal hadir ke pusat penamaan calon esok.
Menurut sumber terbabit kepada FMT, Ronald bakal bertanding sebagai calon untuk sebuah parti yang belum didedahkan.
“Ya hantar (nama sebagai calon), tunggu saja kejutan esok. Apa yang saya boleh kongsikan bukan (sebagai calon) bebas,” menurut sumber.
Sumber terbabit walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sekiranya bekas Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu bakal bertanding atas tiket pembangkang atau mana-mana parti yang belum meletakkan calonnya di kerusi Parlimen itu.
“Boleh jadi juga, apa-apa pun kita jumpa esok (di pusat penamaan calon),” kata sumber kepada FMT.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan GRS- BN menerusi satu majlis pengumuman calon yang diadakan di The Magellan Sutera telah mengumumkan calon masing-masing untuk berentap dalam PRU15.