KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak PDRM wajib menyiasat Datuk Seri Shafie Apdal selepas Syarikat Benta Edible Oil Sdn. Bhd. (anak syarikat kerajaan negeri Sabah, Benta Wawasan) yang mengeluarkan minyak jenama BESS terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM6,738,461.
Menurut Gerakan Anti Rasuah Malaysia (GERAM) bahagian Sabah dalam satu kenyataan akhbar berkata, agak pelik sehingga kini pemimpin-pemimpin Parti Warisan masih tetap mendakwa salah satu kejayaan selama 26 bulan mentadbir Sabah mereka telah berjaya mengeluarkan minyak masak sendiri jenama BESS walaupun syarikat pengeluar minyak itu rugi sejak tahun pertama dilancarkan.
Mengikut maklumat yang diperolehi oleh GERAM, bagi tempoh tahun 2020 hingga 2021 di bawah pengurusan asal, Benta Edible Oil Sdn. Bhd (BEOSB) telah mengalami jumlah kerugian terkumpul bagi tahun 2020 hingga 2021 sebanyak RM 6,738,461
Perincian kerugian bagi tahun 2020 selepas diaudit ialah berjumlah RM3,196,314, manakala tahun kerugian bagi tahun 2021 pula ialah RM3,542,147.
Jumlah keseluruhan kerugian adalah RM 6,738,461.
Menurut GERAM, “wang sebanyak itu adalah hak milik seluruh rakyat Sabah, pihak SPRM dan Polis wajib menyiasat secara telus kenapa syarikat pengeluar minyak jenama BESS sebelum ini telah menanggung kerugian yang begitu besar sejak jenama minyak ini dilancarkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal pada 3 Feb 2020.”
GERAM berkata lagi, maklumat yang diterima turut menunjukkan pengurusan asal BEOSB yang dilantik oleh Parti Warisan kekal menguruskan minyak ini sehingga 15 Disember 2021 sebelum ditukar sepenuhnya oleh oleh kerajaan GRS-BN.
Ironinya selepas pengurusan lama ditukar Syarikat BEOSB kini telah mula menunjukkan prestasi yang amat baik di mana Syarikat ini telah mula membuat keuntungan.
Oleh sebab itu GERAM meminta dan merayu agar rakyat Sabah tampil membuat laporan kepada SPRM dan Polis agar kes ini dapat disiasat dan seterusnya pihak yang bertanggungjawab perlu didakwa.