Suami Dipenjara Lapan Tahun Kerana Tetak Isteri Hingga Cedera Parah

Suami Dipenjara Lapan Tahun Kerana Tetak Isteri Hingga Cedera Parah

0
SHARE

KOTA MARUDU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Marudu selepas didapati bersalah menetak isterinya hingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, di sini, Jun lalu.

Tertuduh, Kanasius Natun, 50, didapati bersalah menetak isterinya, Jorurus Masanting, pada pagi 25 Jun lalu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun bermula dari tarikh sabitan pada 5 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadzri Azham Zainudin, manakala hukuman dijatuhkan Hakim Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kesalahan jenayah dapat dibendung serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“PDRM IPD Kota Marudu turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.