KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sakag Talantang yang baru dibentuk yakin perjanjian pemuliharaan alam semula jadi (NCA) akan membawa hasil yang sangat diperlukan Sabah untuk melonjak negeri itu ke hadapan dalam membangunkan ekonomi hijau.
Presiden Sakag Talantang, Ramdi Indang berkata, pertubuhannya menyokong penuh kerajaan Sabah dan menggesa penentang NCA untuk mengkaji tujuan dan kepentingan perjanjian itu sebelum membantah secara membuta tuli semata-mata untuk meraih mata politik.
Beliau menyatakan bahawa NCA adalah perjanjian pemuliharaan dan bukannya perjanjian penerokaan kayu balak dan atau mineral, justeru tempoh 100 tahun adalah konsisten dengan maksud pemuliharaan sebenar.
Ramdi membuat kenyataan itu selepas menandatangani visi dan misi Sakag Talantang di bengkel pertama pertubuhan itu mengenai asal usul dan rancangan masa depan Talantang pada Khamis.
“NCA hanya memberikan kebenaran Hock Standard untuk membangun, mengurus dan memasarkan kredit karbon dan komponen kredit bukan karbon NCA di kawasan yang ditetapkan…
“Ia tidak melanggar hak tanah orang asli, kerana hak tersebut dilindungi oleh undang-undang yang berkaitan.
“Hasilnya, perjanjian itu akan memberi manfaat kepada masyarakat orang asli tempatan apabila ia melaksanakan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Ramdi berkata beliau amat terganggu dengan pembohongan berterusan yang dilakukan oleh ahli politik daripada kedua-dua pihak yang mengetahui maksud dan tujuan perjanjian itu, namun memilih untuk mengeksploitasi emosi rakyat dengan mendakwa ia adalah muslihat untuk menjual tanah berdaulat Sabah kepada orang asing.
“Mungkin mereka lebih suka menebang pokok dan membiarkan tanah kita tandus demi beberapa juta ringgit…
“Ingat bahawa hasil yang dijana oleh perdagangan karbon akan dipantau rapi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hanya boleh digunakan untuk pembangunan mampan. Manalah tahu, mungkin ada yang kecewa dengan perkara ini,” katanya.
Namun begitu, Ramdi menegaskan kerajaan meneruskan proses Persetujuan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (FPIC) sebaik sahaja komuniti yang tinggal berhampiran hutan yang ditetapkan dikenal pasti.
Sementara itu, Ramdi berkata Sakag Talantang berhasrat memperkasakan usahawan dalam kalangannya serta memartabatkan tradisi, budaya dan adat resam orang Talantang.
“Terdapat lebih 200,000 keturunan Talantang di Sabah. Majoriti mereka tinggal di Pantai Barat dan Pedalaman di tempat-tempat seperti Ranau, Tambunan, Penampang, Papar, Tuaran dan sebagainya…
“Memang benar kita sudah mempunyai banyak persatuan berasaskan budaya di Sabah, dan yang paling menonjol ialah KDCA dan USDA. Namun, Sakag Talantang akan melangkaui budaya semata-mata.
“Kami adalah sebuah keluarga yang akan menjaga satu sama lain dan mengangkat satu sama lain melalui rangkaian kami yang luas.
“Kita tidak boleh menghadkan diri kita untuk mengadakan perayaan kebudayaan sekali setahun. Keusahawanan dan pendidikan adalah tinggi dalam senarai keutamaan kami, dan di sinilah kami akan menumpukan sebahagian besar usaha kami,” ujarnya.





