KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah terus komited dalam menjaga kebajikan anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi apabila Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah menyalurkan sumbangan dapur siswa kepada pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata inisiatif dapur siswa tersebut merupakan antara usaha penting bagi membantu meringankan kos sara hidup pelajar, khususnya dari segi keperluan makanan harian.
“Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah hari ini telah menyumbangkan bantuan dapur siswa, selain sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Sabah kepada semua anak-anak kita yang hadir.
“Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu pelajar agar tidak terbeban dengan kos makan dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pelajar-pelajar Sabah dalam Majlis Mahabbah Pelajar Sabah Universiti Malaya, yang turut melibatkan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta beberapa agensi berkaitan di sini hari ini.
Turut hadir, Dekan Akademi Pengajian Islam UM, Prof Dr Mohd Fauzi Hamat.
MenurutMohd Arifin, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa, dermasiswa dan sokongan kewangan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah, selaras dengan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Dengan adanya bantuan seperti dapur siswa dan pelbagai skim pendidikan lain, alasan kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Sabah untuk terus berjaya dalam pengajian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaya, khususnya Akademi Pengajian Islam, atas peluang yang diberikan kepada pelajar Sabah apabila seramai 50 orang pelajar diterima masuk setiap tahun hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai sejak tahun lalu.
Beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan Universiti Malaya melalui penganjuran kursus jangka pendek dan program akademik yang boleh dibawa ke negeri Sabah pada masa akan datang.
Sebagai tambahan, Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama lebih 2,000 mahasiswa Sabah sempena bulan Ramadan akan datang, sebagai tanda keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar negeri itu.






