Tahanan Loloskan Diri; 8 Anggota Polis Dan Seorang Orang Awam Ditahan

Tahanan Loloskan Diri; 8 Anggota Polis Dan Seorang Orang Awam Ditahan

0
SHARE

GEORGETOWN, PULAU PINANG – Lapan anggota polis dan seorang awam direman empat hari, mulai kelmarin bagi membantu siasatan berhubung seorang tahanan meloloskan diri di Relau, di sini pada 09 Julai lalu.

Memetik Portal Berita Harian perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Sesyen, Ahmad Tajuddin Zain terhadap semua suspek yang berumur antara 20 hingga 45 tahun itu.

Semua mereka tiba di perkarangan di mahkamah di sini, kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin dengan ada di antara suspek masih berpakaian seragam polis kerana ditahan sejurus kejadian. Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi, seorang tahanan melarikan diri selepas van polis yang dinaiki dari Balai Polis Bayan Baru rosak di persimpangan lampu isyarat di Relau.

Difahamkan, suspek kes dadah terbabit bersama dua lagi tahanan dalam perjalanan menuju ke Hospital Balik Pulau (HBP) bagi mendapatkan rawatan sebelum suspek keluar melalui tingkap ketika van berhenti di tepi jalan akibat masalah brek. Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan dan polis masih memburu tahanan berumur 43 tahun berkenaan.

Manakala memetik laporan The Star pula, lapan anggota polis ditahan di Georgetown semalam selepas didakwa membuat laporan palsu berhubung kes tahanan lolos di bawah seliaan mereka.

Kejadian tahanan meloloskan diri ketika anggota terbabit – seorang berpangkat sarjan, tiga koperal dan empat lans koperal – membenarkan mereka bertemu kawan dan keluarga di Sungai Nibong Besar, kata polis dan menambah seorang anggota polis kemudiannya membuat laporan palsu melaporkan Anuar Ayat, 43, meloloskan diri selepas van polis yang dinaiki rosak di Jalan Paya Terubong pada Ahad.

Ketua polis Pulau Pinang, Chuah Ghee Lye mendakwa anggota polis terbabit “dibayar” sebelum mengeluarkan tahanan daripada lokap berpusat di Bayan Baru atas alasan tidak sihat dan memerlukan rawatan di Hospital Balik Pulau, katanya.

“Daripada membawa tahanan ke hospital, mereka sebaliknya dibawa ke Sungai Ara.

“Tahanan yang lolos itu bertemu keluarga mereka di sebuah kondominium di Sungai Ara, manakala dua lagi berusia 38 dan 45 tahun juga bertemu dengan keluarga mereka di kawasan sama kira-kira jam 2 pagi pada Ahad,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang semalam.

Chuah berkata selepas meluangkan masa dengan keluarga selama setengah jam, Anuar meminta untuk dibawa ke Sungai Nibong Besar di mana dia bertemu rakannya sekitar jam 4 pagi hari yang sama.

“Dia meloloskan diri ketika pertemuan itu,” katanya dan menambah dua tahanan lain sudah dibawa ke lokap berpusat di Bayan Baru.

Menurut Chuah kes disiasat atas kecuaian penjawat awam kerana membenarkan orang kena tahan melepaskan diri daripada tahanan dan membuat laporan palsu.