KOTA KINABALU: Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Numbak di sini lewat malam tadi, mengakibatkan kerosakan struktur terhadap tiga buah rumah, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 malam, sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.25 tengah malam dan mendapati berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan tiga kediaman penduduk. Rumah pertama berkeluasan 16 x 15 kaki dilaporkan mengalami kerosakan sepenuhnya, manakala rumah kedua mengalami kerosakan kira-kira 90 peratus dan rumah ketiga pula rosak sekitar 70 peratus.
Komander Operasi, PBK I Asama Saruddin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada penduduk kampung.
“Pasukan operasi telah memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.45 pagi,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan seramai empat anggota bomba dengan bantuan dua kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda VIGO dan sebuah jentera EMRS. Tiada agensi lain terlibat dalam operasi berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Pengganti Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, PPgB Mohammad Hannis Moktar, boleh dihubungi untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan kejadian itu.
JBPM Sabah menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berbukit, agar sentiasa berwaspada terutama ketika musim hujan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.






