TAWARAN SAMAN TRAFIK RM50 BERAKHIR HARI INI

TAWARAN SAMAN TRAFIK RM50 BERAKHIR HARI INI

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Orang ramai masih mempunyai peluang lagi pada hari ini untuk menyelesaikan saman pada kadar khas RM50 bagi semua jenis kesalahan trafik sebelum tempoh tawaran berakhir hari ini (21 Mei) melalui program Kadar Khas Bayaran Saman PDRM.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa pemilik saman trafik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menyelesaikan saman tertunggak sebelum tawaran itu ditutup.

“Kadar Khas Bayaran Saman PDRM. Tinggal satu hari sahaja lagi. Jom bayar segera!,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter malam tadi.

PDRM melaksanakan Kadar Khas Bayaran Saman berjumlah RM50 setiap satu bagi semua saman trafik termasuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya bermula 21 April lalu hingga 21 Mei ini.

Tawaran kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023 serta kes saman yang masih melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim memaklumkan kadar khas itu julung kali dilaksanakan bagi memberi peluang orang ramai menyelesaikan saman yang tidak boleh dikompaun.

Pembayaran saman boleh dibuat menerusi aplikasi MyBayar Saman, semua kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran (hari bekerja), mesin ATM Maybank seluruh negara dan semua kaunter pejabat Pos Malaysia.