Tekong Bertindak Lari Tinggalkan 750 Liter Petrol

Tekong Bertindak Lari Tinggalkan 750 Liter Petrol

0
SHARE
Bot yang penuh dengan minyak petrol ditahan oleh Maritim Malaysia. - Foto Ihsan Maritim Malaysia...

SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menggagalkan cubaan sebuah bot laju menyeludup keluar minyak petrol di perairan Kampung Batu sekitar jam 12.15 tengah malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, semasa rondaan, bot ronda telah mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran berwarna biru di lokasi lebih kurang satu batu nautika timur Kampung Batu.

“Semasa dirapati, tekong bot telah bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan bertindak terjun melarikan diri ke daratan berhampiran…

“Pemeriksaan ke atas bot menemui tong-tong berisi minyak petrol dengan anggaran sebanyak 750 liter dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya anggaran rampasan keseluruhan termasuk bot dengan dua enjin bernilai RM17,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM100 ribu atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.