TAWAU, SABAH – Tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Madani, Jiwa Merdeka adalah tema yang bertepatan mengajak generasi kini menghargai jasa para pejuang kemerdekaan lalu.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu amat bertepatan dengan suasana masa kini negara yang sangat memerlukan semangat patriotik kalangan generasi kini dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Pada masa sama, kita tidak boleh lupa jasa dan pengorbanan pahlawan terdahulu yang telah berkorban agar kemerdekaan dapat dicapai, kita harus sentiasa menghargai nilai kemerdekaan kerana melalui kemerdekaan akan membawa kemakmuran berterusan kepada Malaysia.
“Saya berharap, tema yang dipilih, akan di memberi semangat kepada seluruh warga Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Perbandaran Tawau 2024 di Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Sabtu.
Dalam program tersebut, beliau turut menyampaikan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada beberapa agensi kerajaan antaranya MPT, PDRM Tawau, Mahkamah Anak Negeri Tawau, dan wakil komuniti Madani sempena persinggahan ke 31 Konvoi KMJG di Tawau.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Hamild @ Hamild Awang yang juga Pengerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Champin Piuh dan Penolong Pegawai Memerintah 7 Rejimen Askar Melayu DiRaya, Mejar Muhammad Dhia’uddin Md Azizan. — JABATAN PENERANGAN SABAH