PENAMPANG: Tiada kelompongan pada undang-undang berkaitan Akta Anti Lompat Parti seperti yang didakwa pemimpin pembangkang sebelum ini berikutan tindakan beberapa wakil rakyatnya yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tidak adil untuk menyalahkan kerajaan hari ini atas alasan kelompongan pada Akta yang diluluskan sendiri oleh kerajaan terdahulu.
“Tiada kelompongan, yang buat Anti Lompat Parti itu kerajaan mana, sekarang mereka pembangkang, mereka juga cakap sekarang ada kelompongan.
“Masa mereka buat undang-undang kenapa mereka tidak menilai kelompongan itu, kenapa mahu tolak pada kerajaan ini, kerja kami mahu tutup lompong kah apa, tidak,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai dakwaan berlaku kelompongan dalam akta itu yang menyebabkan wakil rakyat masih boleh mengalihkan sokongan tanpa meninggalkan parti.
Tegas beliau lagi, tugas kerajaan hari ini adalah untuk memastikan undang-undang sedia ada ini terpakai dan seterusnya memastikan kerusi parlimen menjadi milik parti dan rakyat, bukan individu.
Terdahulu, seorang lagi wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN), iaitu Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan kepada pimpinan Anwar yang seterusnya menjadikan enam wakil rakyat pembangkang bertindak sedemikian setakat ini.