SHANGHAI, CHINA – Tiada kes baharu jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan di China yang mana ini merupakan buat pertama kalinya dalam dalam tempoh dua bulan ini.
Data rasmi sekali gus menunjukkan negara itu berjaya menghilangkan gelombang terbaru penyakit itu.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Nasional, jumlah keseluruhan kes COVID-19 meningkat sedikit kepada 14 pada 7 Februari lalu daripada 12 kes sebelum itu, tetapi semuanya adalah jangkitan yang diimport dari luar negara.
Tujuh kes dilaporkan di Shanghai dan selebihnya di wilayah Guangdong tenggara.
Memetik laporan BH Online, ini menandakan buat kali pertamanya China tidak mempunyai jangkitan tempatan sejak 16 Disember, sekali gus menunjukkan langkah agresif diambil pihak berkuasa berjaya menghentikan penyebaran penyakit dari kelompok besar di wilayah Hebei di sekitar Beijing dan wilayah Heilongjiang dan Jilin timur laut.
Jumlah kes tidak bergejala yang tidak dikelaskan oleh China sebagai kes COVID-19 disahkan, meningkat kepada 16 kes dari 10 hari sebelumnya, menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional.
Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di tanah besar China berjumlah 89,706, sementara jumlah kematian tidak berubah pada 4,636.