Tidak Adil Guna Peruntukan Sedia Ada Laksana Pusat Jantung Sabah – James

Tidak Adil Guna Peruntukan Sedia Ada Laksana Pusat Jantung Sabah – James

0
SHARE
James
James (tengah) ketika gimik perasmian tarian singa Family Care Clinic Jalan Pantai

KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan semula pembiayaan projek kesihatan yang telah diluluskan di Sabah ke arah pembinaan institut jantung bernilai RM80 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu disifatkan tidak adil.

Berkata demikian, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata beliau akan membuat rayuan kepada KKM melalui surat.

“Ini benar-benar mengejutkan. Anwar yang datang ke sini untuk membuat pengumuman perlu membiayainya melalui dana Kementerian Kewangan.

“Pembiayaan khas Sabah digunakan untuk menaik taraf klinik kesihatan namun kini ia diambil dan disimpan bagi tujuan pembinaan pusat jantung tersebut.

“Memanfaatkan semula peruntukan sedia ada untuk membuat tuntutan bagi projek baharu adalah mengarut. Kalau begitu lebih baik Sabah telah mengumumkan pembinaan institut jantung itu sendiri.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyatakan dana yang diluluskan kepada klinik kesihatan seperti di Tenom adalah antara yang terjejas.

“Saya harap mereka tidak tiba-tiba mengganggu kerja pembinaan semula Klinik Kesihatan Tangkarason di Beluran dan di Mansiat, Sook yang telah musnah terbakar. Saya juga mendengar bahawa pembiayaan untuk pengimbas CT dan PET terjejas,” katanya.

James menegaskan telah memberitahu KKM untuk mencari pusat jantung di Hospital Queen Elizabeth 2 kerana ia mempunyai kemudahan sedia ada dan hanya perlu dinaik taraf.

Bagaimanapun, menterinya semasa lawatannya ke sini pada Mei lalu bercadang untuk membinanya di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kami pun tidak tahu bila Hospital UMS akan siap. Lama lagi, dan Sabah amat memerlukan pusat jantung. Saya harap ia kekal di Queen 2 dengan penambahan pakar kardiologi.

“Sabah telah menunggu begitu lama untuk ini dan kini untuk mengambil pembiayaan daripada projek lain adalah ketidakadilan bagi kami,” katanya ditemui selepas melancarkan Family Care Clinic di Jalan Gaya hari ini.