Tidak Sempat Beli Pau Kegemaran, Dua Kanak-Kanak Terperangkap Hampir 11 Jam Dalam...

Tidak Sempat Beli Pau Kegemaran, Dua Kanak-Kanak Terperangkap Hampir 11 Jam Dalam Lift 

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak dilaporkan terperangkap hampir 11 jam dalam lift ketika dalam perjalanan untuk membeli pau kegemaran mereka di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, semalam.

Faiq Adiwira, 11 tahun bersama seorang lagi rakannya akhirnya ditemui selamat namun berada dalam keadaan lemah selepas terperangkap sejak jam 2.15 petang semalam sebelum ditemukan pada jam 1 pagi tadi. 

Menurut ibu mangsa, Fospaliza Md Sariff, Faiq keluar dari rumah untuk membeli pau di kedai berdekatan sebelum terperangkap dalam lif berkenaan.

“Ketika kejadian dia turun dari rumah kami di tingkat sembilan sebelum terperangkap di tingkat empat bersama seorang kawannya, pau pun tak sempat beli,” katanya menurut laporan Harian Metro di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ditemui dua kanak-kanak itu dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas terperangkap tanpa makanan dan minuman.

Fospaliza berkata, kanak-kanak itu cuba meminta tolong melalui butang interkom tetapi tiada respon dan mereka hanya mampu menangis sehingga tertidur beberapa kali.

Menurutnya, pada peringkat awal mereka tidak menyangka dua kanak-kanak itu terperangkap di dalam lif berkenaan dan menyangka mereka hanya pergi bermain.

“Biasanya dia pergi bermain dengan kawan-kawan dan saya dah tetapkan untuk dia mesti berada di rumah sebelum jam 7 petang.

“Jadi saya tidak sangka mereka terperangkap kerana ingatkan dia pergi bermain selepas membeli pau di bawah blok kami,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 12 tahun menetap di pangsapuri itu sudah beberapa kali kejadian sama berlaku namun kepada orang dewasa.

Katanya, mereka sekeluarga bersyukur tiada perkara tidak diingini berlaku ke atas Faiq dan kanak-kanak itu sudah bersemangat kembali ke sekolah hari ini.