SANDAKAN: Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah pada Khamis lalu telah menahan seorang wanita dan dua lelaki yang disyaki memberikan maklumat palsu.
Menurut JPN Sabah, semua individu tersebut telah mengemukakan dan memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan Kad Pengenalan di JPN Daerah Sandakan.
“Semasa membuat permohonan Kad Pengenalan bagi dua lelaki itu pada 15 Februari 2023, wanita tersebut telah memberikan maklumat palsu dengan menyatakan kedua-dua lelaki tersebut merupakan anak kandungnya.
“Risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan oleh oleh Pegawai Penguatkuasa JPN mendapati wanita tersebut bukan ibu kandung kepada kedua-dua lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, ketiga-tiga individu itu akan dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25 (1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (2007).
“Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman Penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau Kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, JPN tidak akan berkrompomi dengan salah laku yang melanggar Undang-Undang dan mengancam keselamatan Negara.