TPNS Sumbang RM9,000 Kepada 18 Pelajar SMK Usukan

TPNS Sumbang RM9,000 Kepada 18 Pelajar SMK Usukan

0
SHARE
Arifin
Arifin (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar yang terlibat kebakaran di Kuala Abai ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA BELUD, SABAH – Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyumbangkan RM9,000 kepada 18 pelajar SMK Usukan yang terlibat insiden kebakaran baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata bantuan tersebut untuk meringankan beban para pelajar yang terkesan dalam tragedi kebakaran Kampung Kuala Abai pada 11 Julai lalu untuk membeli keperluan sekolah.

“Saya bersama-sama rombongan TPNS, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) hadir untuk menyampaikan sumbangan daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS serta PBNS untuk mangsa kebakaran.

“MUIS menyediakan RM1,000 untuk satu keluarga, demikian juga PBNS ada menyumbangkan RM300, diharapkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang mereka alami.

Selain itu, Arifin turut menyantuni 58 Ketua Isi Rumah (KIR) di tapak kebakaran Kampung Kuala Abai dengan menyerahkan wang tunai dan bakul makanan.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan berkata perbincangan sudah diadakan di antara wakil rakyat dengan Pegawai Daerah bagi membantu mangsa kebakaran.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pintasan memaklumkan bantuan yang sama akan diberikan seperti mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang, Kudat pada Februari 2022. — JABATAN PENERANGAN SABAH