
KUDAT, SABAH – Seorang bayi lelaki berusia tiga hari yang memerlukan rawatan segera di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi telah dibawa ke Hospital Kudat dengan bantuan aset laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat pada Selasa.
Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, misi bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) telah dilaksanakan aset ronda Zon Maritim Kudat iaitu BOT HALILINTAR 02 setelah menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan Klinik Karakit sekitar pukul tiga petang pada hari kejadian.
“Bayi berkenaan, Mohd Adwa Faiq Salleh mengalami demam dan berisiko mendapat jangkitan selaput otak dan serangan sawan perlu mendapatkan rawatan segera di Hospital Kudat.
“Mangsa diiringi ibunya dan tiga orang staf kesihatan tiba di Jeti Marina, Kudat lebih kurang pukul lima petang, seterusnya dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.
Katanya, Adwa dilaporkan masih lagi mendapatkan rawatan lanjut dan diberikan pemantauan rapi sehingga keadaannya stabil.